
Salam,
Setahun lalu, ketika heboh Anwar Ibrahim 'have a number' menubuhkan Kerajaan Persekutuan, dikatakan sasaran beliau ialah MP Sabah dan Sarawak. Satu ketika, impian beliau seolah akan menjadi kenyataan.
Seperti yang diketahui umum, impian beliau menjadi mimpi ngeri. Kerajaan yang hendak ditubuhkan tidak kesampaian. Mimpi tinggal mimpi, yang menjadi kenyataan ialah perubahan pimpinan kerajaan persekutuan tapi bukan Anwar PM!
Seakan terkena badi, semenjak itu pelbagai masalah menimpa kepimpinan PKR. Di sebalik semakin ramai nama besar politik tanahair menyertai PKR, bukan sedikit pula yang 'kecewa' dan 'lari' dari perjuangan keadilan yang dihebohkan.
Terbaru, perletakan jawatan Dr. Jeffrey Kitingan diikuti Christina Liew - yang terkenal sebagai antara pelopor PKR Sabah, tentulah berita yang akan menyebabkan tidur Anwar tidak lena.
Nampaknya perjalanan Anwar ke Putrajaya semakin berliku, apalagi dengan 'kehilangan' tokoh penting seperti Jeffrey dan Christina, pastinya disertai penyokong yang bukan sedikit.
Sabah yang dahulunya diharap menyumbang kepada pembentukan kerajaan, kini bukanlah seperti yang diangankan. Mungkinkah badi 16 September akan terus menghantui PKR?